AMP Mengalu-alukan Sokongan Untuk Bersama Menangani Masalah Hutang Dalam Masyarakat

6 Mei 2014

  1. Angkatan Karyawan Islam (AMP) menyambut baik maklum balas Encik Muhammad Dzul Azhan Haji Sahban dalam ruang Forum Berita Harian (“Agihan bantuan lebih wajar jika dikategori jenis hutang”, 3 Mei) serta rencana yang ditulis oleh Encik Puad Ibrahim (“Ilmu kewangan kunci bagi tangani masalah hutang”, 5 Mei). Kedua-dua menunjukkan keprihatinan yang positif dalam usaha AMP menangani masalah hutang dalam masyarakat.
  2. Pusat Penasihat Hutang (DAC) merupakan salah satu saranan utama Panel Ekonomi bagi Konvensyen Nasional Karyawan Islam Singapura Ketiga yang dianjur AMP pada 30 Jun 2012. Tujuan penubuhan DAC adalah untuk mengukuhkan kedudukan kewangan masyarakat Melayu/Islam di Singapura. Tinjauan panel tersebut juga mendapati bahawa para penghutang Melayu/Islam secara umum mendapatkan khidmat nasihat daripada badan-badan bukan Islam kerana tiada badan Melayu/Islam yang khusus menangani masalah hutang.
  3. Encik Muhammad Dzul menyarankan supaya jenis hutang harus dikategorikan berdasarkan sebab-sebab hutang diambil. AMP akur akan kepentingan maklumat sebegitu dan selaras dengan khidmat yang disediakan oleh DAC, kami juga dalam proses pengumpulan data daripada kes-kes yang dikendalikan sejak pelancaran DAC pada 1 April 2013. Sejauh ini, dapatan kami menunjukkan bahawa:
    • 37% daripada klien DAC merupakan mereka yang berpendapatan rendah;
    • 34% mempunyai pengurusan kewangan yang lemah;
    • 26% mempunyai jangkaan dan gaya hidup di luar kemampuan mereka; sementara
    • 3% terperangkap dalam hutang akibat berjudi.
    Setelah mengenalpasti punca seseorang klien itu mempunyai masalah hutang, DAC melakarkan pelan tindakan untuk menghuraikan masalah hutang mereka serta memastikan masalah itu tidak berulang
  4. Hasil dapatan awal ini berkaitan dengan saranan Encik Puad untuk memupuk ilmu kewangan sebagai kunci memerangi ‘barah’ hutang dalam masyarakat. Di DAC, kami dapati bahawa ramai daripada mereka sebenarnya boleh mengelakkan diri dari dijerat masalah hutang jika mereka lebih celik dalam menguruskan kewangan mereka. Sebagai contoh, kami agak khuatir dengan bilangan ramai yang berhutang dengan mengambil pelan ansuran; ramai juga kurang jelas akan kadar faedah yang boleh mencecah antara 250% hingga 1000% setahun bagi pinjaman daripada peminjam yang berlesen.
  5. Oleh demikian, DAC komited untuk membantu masyarakat menangani masalah hutang dan berharap supaya mereka yang mempunyai masalah hutang mendapatkan bantuan daripada DAC pada peringkat awal, sebelum masalah hutang mereka menjadi rumit. Bagi mereka yang belum terjerat dalam masalah hutang tetapi berniat untuk meminjam wang, kami ingin mengesyorkan agar anda mendapatkan nasihat daripada DAC untuk mempertimbangkan cara-cara alternatif selain daripada meminjam daripada peminjam berlesen atau yang tidak berlesen. Anda boleh hubungi talian hotline DAC di 6416 3960 untuk mendapatkan maklumat lanjut
TAMAT

Sani Hamid Penasihat Pusat Penasihat Hutang (DAC) AMP