Wadah Community in Review AMP Akan Digunakan Untuk Meninjau Strategi Konvensyen

23 Ogos 2012

  1. Angkatan Karyawan Islam (AMP) telah membuat keputusan untuk memenuhi objektif Forum Masyarakat (ComFor) menerusi rangka kerja Community in Review (CIR) AMP yang sedia ada. Penubuhan ComFor telah disarankan di Konvensyen Nasional Karyawan Islam Singapura Ketiga yang dianjur oleh AMP pada 30 Jun 2012 untuk meninjau proses perlaksanaan strategi Konvensyen serta menjadi sebuah wadah untuk membincangkan isu-isu yang penting kepada masyarakat Melayu/Islam.
  2. Keputusan ini merupakan hasil daripada maklum balas yang diterima AMP di mana sebahagian daripada masyarakat melihat ComFor sebagai satu wadah bebas dan berpendapat bahawa Forum Pemimpin Masyarakat (CLF) harus lebih inklusif dari segi struktur kepimpinannya. Pada masa yang sama, ada yang melahirkan rasa bimbang terhadap penubuhan ComFor yang dilihat sebagai satu saingan kepada CLF dan mungkin memberi persepsi ia akan memecahbelahkan masyarakat. AMP sudah pun menjelaskan pendiriannya untuk memperbetulkan persepsi ini.
  3. Setelah mengadakan beberapa sesi perbincangan yang intensif dan mendalam dengan pihak-pihak tertentu di dalam masyarakat dan kepimpinan politik, AMP berpendapat bahawa pendekatan CIR ini adalah yang paling sesuai bagi memanfaatkan masyarakat.
  4. Namun, AMP berpegang kepada pendapatnya bahawa prinsip ComFor, iaitu, sebuah wadah bebas yang menghargai pendekatan bawah-ke-atas dalam membincangkan isu masyarakat dan meninjau perkembangan strategi Konvensyen, masih lagi relevan untuk masyarakat kita.
  5. Menerusi pendekatan baru ini, CIR akan terus dianjurkan setiap tahun tetapi skopnya akan diperluaskan untuk memenuhi objektif tersebut. CIR dalam bentuk baru ini juga boleh melibatkan tinjauan dan kajian tentang isu-isu masyarakat. Ia akan disokong oleh Pejabat Program AMP, yang telah ditubuh untuk menguruskan proses perlaksanaan strategi Konvensyen.
  6. AMP percaya bahawa CIR dengan skop yang lebih luas ini akan melengkapkan proses Konvensyen dalam mempertingkatkan perubahan di dalam masyarakat kita sedang kita beraspirasi untuk menjadi masyarakat yang cemerlang.

Oleh: Lembaga Pengarah AMP